JAWATANKUASA TETAP BAHASA MELAYU BRUNEI DARUSSALAM (JKTBMBD)
Semenjak tahun 1981 hingga 1984, Negara Brunei Darussalam pada ketika itu telah menghantar rombongan pemerhati ke Sidang Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM), dengan tujuan untuk meninjau kerjasama antara kedua-dua buah negara dalam bidang kebahasaan. Kemudian, pada 04 November 1985, iaitu pada Sidang Ke-24 MBIM di Jakarta, Negara Brunei Darussalam yang telah mencapai kemerdekaan telah diterima dengan rasminya menganggotai Majlis Bahasa ini. Bertitik tolak dari itu, singkatan MBIM ditukar menjadi akronim MABBIM, iaitu singkatan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia.
Negara Brunei Darussalam menganggotai Majlis Bahasa Serantau ini melalui titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu dengan tertubuhnya satu jawatankuasa tertinggi yang dinamakan sebagai Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu Brunei Darussalam (JKTBMBD). Badan ini diberi kuasa penuh dalam hal-hal kebahasaan yang meliputi ejaan, istilah, dan tatabahasa. JKTBMBD dibentuk pada 09 Mac 1985 bagi melaksanakan Pernyataan Bersama tiga buah negara anggota iaitu Brunei Darussalam-Indonesia dan Malaysia.
Keanggotaan
Ahli JKTBMBD dianggotai oleh 12 orang ahli yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan. Mereka dilantik oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merangkap Pengerusi JKTBMBD, manakala Cawangan Peristilahan (DBP) menjadi Urus setia mesyuarat JKTBMBD, Sidang Pakar MABBIM dan Sidang Eksekutif MABBIM yang diadakan di Negara Brunei Darussalam.
Tugas JKTBMBD:
- Berusaha menyempurnakan dan melengkapkan sistem ejaan bahasa Melayu;
- Berusaha menyempurnakan dan melengkapkan pedoman umum dan pedoman khusus peristilahan serta menyelaras istilah-istilah bahasa Melayu;
- Menjadi badan tertinggi dalam menentukan dasar penyempurnaan pedoman-pedoman pembentukan istilah bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam; dan
- Menjalin kerjasama yang rapat dengan Negara Malaysia dan Republik Indonesia melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).
Ahli Yang Sedang Berkhidmat:
1. Pengerusi
Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka
Awang Suip bin Haji Abdul Wahab
2. Setiausaha
Pegawai Bahasa, Unit Peristilahan
Pengiran Hajah Rosenani binti Pengiran Haji Halus
3. Penolong Setiausaha
Pegawai Istilah Kanan
Masni binti Moktal
Ahli-ahli Jawatankuasa terdiri daripada;
3.1 Pengarah Perkembangan Kurikulum
3.2 Peguam Negara (Wakil)
3.3 Pengarah Pengajian Islam
3.4 Ketua Bahagian Pembinan dan Pengembangan Bahasa (DBP)
3.5 Wakil Jabatan Bahasa Melayu dan Linguistik, UBD dan DBP
i. Dr. Hajah Fatimah binti Haji Awang Chuchu (Pensyarah Kanan)
Pensyarah Kanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD
ii. Dayang Hajah Norati binti Bakar
Pegawai Bahasa, DBP
4. Lantikan Atas Peribadi
4.1 Dr. Yabit Alas
Pengarah Pusat Bahasa, UBD
4.2 Dr. Aini binti Haji Karim
Pensyarah Kanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD
4.3 Dayang Hajah Annisa binti Haji Moksin
Pegawai Bahasa, DBP
JKTBMBD mengadakan mesyuarat mengikut keperluan, bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatankuasa ini menjalankan tugas seperti pengumpulan dan penyelarasan istilah bidang ilmu untuk dibincangkan di peringkat Mabbim, merancang aktiviti pembinaan akar bahasa, kegiatan yang signifikan dengan kebahasaan, menerbitkan buku-buku kajian kebahasaan serantau, menjalankan penyelidikan bahasa dan lain-lain, sejajar dengan perancangan kerja Mabbim mengikut perkembangan bidang sains dan teknologi. Jawatankuasa ini dihasratkan akan dapat bergiat dengan lebih produktif dan komprehensif. Manakala sumbangan masyarakat mahupun pihak yang berkepentingan amatlah diharapkan dalam sama-sama memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.